Nuffnang ads

Saturday, 7 December 2013

Sirah 7 - Kenangan Abu Ayub al-Ansari Bersama Baginda SAW


Tak kenal maka tak cinta, begitulah pepetah Melayu memberi kiasan. Saya banyak kali menyebut mengenai Saidina Abu Ayub al-Ansari ini tetapi belum pernah menulis mengenainya lagi. Kesempatan kali ini, mari kita kongsikan sedikit sirah mengenai Abu Ayub al-Ansari

Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Banu Najjar. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang utama dan paling rapat kepada Nabi SAW.


Ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah di dalam peristiwa hijrah, baginda disambut dengan gembira oleh orang-orang Ansar di Madinah. Hati mereka berada bersama-sama baginda dan mata mereka sentiasa mengikuti pererakan baginda dengan rasa penuh cinta dan kebaktian. Mereka ingin memberi baginda sambutan yang amat baik sekali pernah diberikan oleh seseorang.

Pada mulanya, Rasulullah SAW berhenti di Quba yang terletak dekat pinggir kota Madinah dan tinggal di sana selama beberapa hari. Perkara pertama yang dilakukannya ialah membina sebuah masjid sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an:

“Masjid yang didirikan atas dasar taqwa.” (At-Taubah: 108)

Nabi SAW memasuki kota Madinah dengan menunggang untanya. Para pemimpin Madinah berdiri di sepanjang jalan, setiap orang berharap untuk mendapatkan penghormatan dari Nabi SAW agar baginda ingin singgah dan bermalam di rumahnya. Seorang demi seorang berdiri di jalan yang dilalui oleh unta baginda. Mereka semua berkata:

“Tinggallah bersama kami, hai Rasulullah.”

Rasulullah SAW akan menjawab:

“Biarkanlah unta ini berjalan semahunya.”

Unta itu terus berjalan, diikuti dengan rapat para penduduk Madinah. Setiap kali ia melewati sebuah rumah, tuan rumah tersebut merasa sedih dan kecewa manakala orang-orang yang rumahnya menunggu giliran untuk dilalui oleh unta itu sentiasa mengharap-harap agar ia berhenti di depan pintu mereka. Unta itu meneruskan perjalanannya dengan diikuti oleh orang ramai sehingga ia berhenti di atas sebidang tanah di depan rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Namun, Rasulullah SAW tidak turun dari untanya itu.

Selepas beberapa ketika, unta itu berjalan semula, Rasulullah SAW membiarkan tali kekangnya terlepas. Walau bagaimana pun, tidak lama kemudian ia berpusing semula dan berhenti di atas tanah tadi. Hati Abu Ayyub dipenuhi dengan kegembiraan. Beliau keluar mendapatkan Nabi SAW dan menyambutnya dengan ghairah sekali. Beliau mengangkat barang-barang Nabi sambil merasakan bahawa beliau sedang membawa harta yang paling berharga sekali di dunia ini.

Rumah Abu Ayyub memiliki dua tingkat. Beliau telah mengosongkan tingkat atas dan semua milik keluarganya supaya Nabi SAW boleh tinggal di situ. Namun Nabi SAW lebih suka tinggal di tingkat bawah. Malam pun sampai dan Nabi SAW berehat. Tetapi apabila mereka telah menutup pintu, Abu Ayyub menoleh ke arah isterinya lalu berkata:

“Celakalah kita! Apa yang telah kita lakukan? Rasulullah SAW berada di bawah dan kita ada di atasnya! Adakah kita berjalan di atas Rasulullah SAW! Adakah kita menghalang wahyu?! Jika benar, maka binasalah kita!”

Pasangan suami isteri itu menjadi bertambah bimbang tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mereka hanya dapat sedikit akal bila mereka bergerak ke tepi rumah supaya tidak betul-betul berada di atas Nabi. Mereka juga berhati-hati supaya berjalan di tepi-tepi sudut lantai dan tidak di tengah-tengahnya. Pada keesokan paginya, Abu Ayyub menemui Rasulullah SAW lalu berkata:

“Demi Allah, kami tidak dapat melelapkan mata sedikit pun malam tadi, begitu juga dengan Ummu Ayyub.”

“Mengapa hai Abu Ayyub?” Tanya Rasulullah, hairan.

Abu Ayyub pun menerangkan kebimbangan mereka kerana berada di atas manakala baginda pula berada di bawah, dan mungkin mereka juga boleh menghalang wahyu.

“Janganlah bimbang, hai Abu Ayyub,” kata Nabi SAW, “Kami lebih suka tinggal di tingkat bawah kerana ramai orang yang akan menziarahi kita.”

“Kami akur dengan kehendak Rasul,” jawab Abu Ayyub.

Abu Ayub ada menceritakan satu kisah:-

“Pada suatu malam yang sejuk, sebuah kendi kami telah pecah dan air mengalir di atas lantai atas. Ummu Ayyub dan aku memandang air tersebut. Kami hanya memiliki sehelai kain baldu yang kami gunakan sebagai selimut. Kami pun menggunakannya untuk mengelap air itu kerana bimbang ia menyerap ke bawah dan terkena pada Nabi SAW. Pada waktu pagi, aku mendapatkan baginda lalu berkata:

`Aku tidak senang berada di atasmu.’

Dan memberitahunya apa yang telah terjadi. Baginda menerima keinginanku dan kami pun berpindah tempat.”

Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub selama hampir tujuh bulan sehingga masjid yang dibinanya telah siap di atas tanah tempat unta baginda berhenti. Baginda berpindah ke bilik yang dibina di sekeliling masjid tersebut untuk diri dan keluarganya. Dengan demikian, baginda menjadi jiran Abu Ayyub. Alangkah beruntungnya kerana mendapat jiran semulia itu!


Abu Ayyub sangat mencintai Nabi SAW dengan seluruh hati dan nabi SAW juga amat mencintainya. Tidak ada peraturan rasmi di antara mereka. Nabi SAW terus menganggap rumah Abu Ayyub seperti rumahnya sendiri.

Pada suatu hari, Abu Bakar keluar dari rumahnya di waktu tengahari yang terik lalu pergi ke masjid. Umar terlihatnya lalu bertanya:

“Hai Abu Bakar, apa yang membuat engkau keluar pada waktu begini?”

Abu Bakar mengatakan bahawa dia terlalu lapar, lalu Umar pun turut mengakui dirinya juga kelaparan. Rasulullah SAW terserempak dengan mereka lalu bertanya:

“Apa yang membuat kamu berdua keluar dari rumah pada waktu begini?”

Mereka memberitahu baginda lalu baginda berkata:

“Demi Tuhan yang jiwaku di tanganNya, hanya laparlah yang membuat aku keluar juga. Marilah bersamaku.”

Mereka pun pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Kebetulan, Abu Ayyub sedang bekerja di kebun kurma berdekatan. Beliau mendengar suara Nabi SAW lalu segera datang.

“Selamat datang kepada Rasul dan siapa saja yang bersamanya,” katanya lalu meneruskan, “hai Rasulullah, biasanya engkau tidak datang pada waktu begini.”

Abu Ayyub selalu menyimpan sedikit makanan untuk Nabi setiap hari. Jika Nabi tidak datang, maka Abu Ayyub memberikan makanan tersebut kepada keluarganya.


Abu Ayyub keluar dan memotong setandan kurma yang di dalamnya ada kurma masak dan ada kurma yang setengah masak.

“Aku tidak mahu engkau memotong yang ini,” kata Nabi, “Mengapa engkau tidak bawakan kurma yang masak saja?”

Abu Ayyub berkata:

“wahai Rasulullah, silakanlah makan kurma yang telah masak dan yang setengah masak ini. Aku akan menyembelih seekor kambing untukmu.”

“Kalau begitu, jangan sembelih kambing yang ada susu,” pesan baginda.

Abu Ayyub menyembelih seekor anak kambing, memasaknya separuh dan memanggang yang separuh lagi. Beliau juga meminta isterinya supaya membuat roti kerana isterinya pandai dalam hal itu.

Bila makanan telah siap, ia dihidangkan di depan Nabi SAW dan kedua-dua orang sahabatnya itu. Nabi mengambil sekeping daging, meletakkannya ke atas roti lalu berkata:

“Wahai Abu Ayyub, bawakanlah ini kepada Fatimah, dia tidak makan seperti ini selama beberapa hari.”

Apabila mereka selesai makan dan merasa puas, Nabi SAW berkata:

“Roti dengan daging, busr dengan rutb!”

Kemudian air mata mengalir dari kelopak matanya. Baginda berkata lagi:

“Ini adalah nikmat yang akan ditanyakan kepada kamu pada hari kiamat kelak. Maka jika kamu makan nikmat itu, ucapkanlah bismillah dan bila selesai katakanlah Alhamdulillahillazi huwa ashba’na wa an’ama a laina (Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan menganugerahkan nikmat ke atas kami). Ini adalah baik.”

Itulah imbasan terhadap kehidupan Abu Ayyub sehari-harian. Beliau juga mempunyai karier ketenteraan yang tersendiri. Banyak dari masanya dihabiskan sebagai seorang pahlawan sehingga dikatakan mengenainya:

“Beliau tidak terlepas dari semua pertempuran yang disertai oleh kaum Muslimin sejak dari zaman Nabi SAW sehinggalah zaman Muawiyah melainkan beliau terlibat semuanya.”


Misi ketenteraan terakhir yang disertainya ialah yang disediakan oleh Muawiyah dan dipimpin oleh anaknya, Yazid untuk menentang Konstantinopel. Pada waktu itu, Abu Ayyub sudah sangat tua, hampir berusia lapan puluh tahun. Tubuhnya kurus kering kerana diserang sakit malaria. Tetapi hal itu tidak menghalangnya daripada menyertai pasukan tentera dan menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah. Tidak lama selepas terlibat dalam peperangan itu, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa berundur dari berjihad. Namun begitu, beliau tetap berada di atas kudanya dalam keadaan seperti melekat.

Yazid datang mendapatkannya lalu bertanya:

“Wahai Ayahanda Abu Ayyub, adakah ayahanda memerlukan sesuatu?”

“Hai Yazid, sampaikanlah salamku kepada tentera Muslimin dan katakan kepada mereka bahawa Abu Ayyub menyuruh kamu supaya menyerbu masuk ke dalam kawasan musuh sejauh yang boleh, bawalah dia dan kebumikan dia di bawah dinding kota Konstantinopel, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa seorang lelaki yang soleh akan syahid dan dikebumikan di bawah dinding tersebut.”

Kemudian beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Tentera Muslimin melaksanakan keinginan sahabat Nabi yang agung itu. Mereka berjaya mengundurkan tentera musuh dalam serangan demi serangan sehingga mereka sampai ke dinding kota Konstantinopel. Di sana, mereka mengebumikan jasad beliau.

Kaum Muslimin mengepung kota tersebut selama empat tahun tetapi akhirnya berundur.

Rupanya, janji Nabi mengenai kemenangan ke atas kota Konstantinople ini benar. Ia disempurnakan oleh Sultan Muhamad al-Fateh.


"Sirah, Perjalanan Menbina Sejarah"
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
3 Julai 09, jam 3.12 pagi

Antara Abu Ayub al-Ansari dan Sultan Muhammad al-Fatih..

Antara Abu Ayub al-Ansari dan Sultan Muhammad al-Fatih..



Sahabat Rasulullah saw bagaikan cahaya pelita yang menerangi malam yang gelap. Mereka adalah sumber kepada hadis dan juga pendengar wahyu Allah yang paling awal. Daripada mereka, umat Islam memperoleh kesinambungan ilmu tauhid yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Tidak seperti sahabat Nabi Isa as, mereka taat perintah nabi dan langsung tidak mengubah sebarang aturan agama yang diasaskan oleh baginda nabi saw.
Mereka adalah pembela agama dan Rasul-Nya. Mereka tidak gentar dengan kematian malahan mereka amat mengimpikan kematian di medan perang. Bagi mereka, mati di medan perang adalah syahid, dan syahid itu pahalanya adalah syurga.
Ketaqwaan dan kezuhudan mereka tiada tolak bandingnya. Mereka berlumba-lumba untuk mencari keredhaan Allah swt. Masjid sentiasa penuh dengan sahabat-sahabat Rasulullah saw. Situasi seperti itu tidak pernah terjadi kepada umat Muhammad pada masa kini. Bergitulah hebatnya keperibadian sahabat-sahabat Rasulullah saw. Jasa mereka sangat besar dalam perkembangan syiar Islam.
Sahabat Nabi saw banyak yang dikurniakan karamah dan kelebihan. Ia adalah anugerah Allah swt kerana ketaqwaan mereka kepada Allah swt. Terdapat pelbagai kisah yang boleh dijadikan pedoman namun pada kali ini penulis ingin menukilkan satu kisah yang sangat menarik untuk dikongsikan bersama. Ia adalah kisah keajaiban sahabat Rasulullah saw, Abu Ayub al-Ansari ra. Untuk pengetahuan semua, Abu Ayub al-Ansari antara sahabat yang dikurniakan keberkatan umur yang sangat panjang selain seorang lagi sahabat Nabi saw, Anas bin Malik ra.

Abu Ayub al-Ansari
Abu Ayub al-Ansari ra adalah sahabat Rasulullah daripada kaum Ansar. Abu Ayub memiliki nama asalnya iaitu Khalid bin Zaid bin Khulaib. Digelarkan Abu Ayub adalah kerana bagi memuliakan keturunannya. ‘Abu Ayub’ membawa maksud ‘bapa kepada Ayub’.
Beliau yang berasal daripada bani Najjar lahir pada 587M iaitu 16 tahun lewat daripada tahun kelahiran Rasulullah saw. Abu Ayub adalah seorang sahabat yang amat mulia. Beliau dan isterinya adalah sekelompok sahabat Rasulullah saw yang membela kemuliaan Saiyiditina Aisyah ra semasa berlakunya gelombang fitnah yang tercetus selepas peristiwa Peperangan al-Muraisi. Beliau membidas ketua munafik, Abdullah bin Ubai yang bertanggungjawab mengugat kemuliaan ummul mukminin yang dituduh berkhalwat dengan Safwan bin al-Muattol.
Rasulullah saw amat menyayangi Abu Ayub dan keluarganya. Rasulullah saw diriwayatkan tinggal di rumah Abu Ayub selepas berhijrah ke Madinah. Bergitu juga Abu Ayub dan keluarganya. Mereka menyayangi Rasulullah saw sepenuh hati sehingga tidak tersisa walau sedikitpun.

Wasiatnya di Constantinople
Abu Ayub al-Ansari tidak pernah terlepas daripada menyertai sebarang peperangan sejak zaman Rasulullah saw sehingga ke zaman Khulafa ar-Rashidin dan seterusnya menginjak ke zaman Kekhalifahan.
Dalam kempen menyebarkan syiar Islam ke Constantinople, Abu Ayub al-Ansari tidak mahu terlepas daripada menyertai kempen jihad fisabillah tersebut. Peperangan tersebut berlaku pada 674M semasa pemerintahan dinasti Umaiyyah. Ketika itu, umur Abu Ayub sangat tua iaitu dalam lingkungan 98 tahun. Miskipun uzur, Abu Ayub tetap berkeras mahu turut ikut serta dalam kempen bersejarah tersebut. Kempen tersebut diketuai oleh anak kepada Muawiyyah bin Abi Sufian, Yazid bin Muawiyyah.
Dalam kempen tersebut, Abu Ayub mengalami keuzuran yang sangat teruk. Beliau tidak mampu untuk menggalas pedang bagi meneruskan perjuangan bersama-sama tentera-tentera Islam yang lain. Abu Yazid bin Muawiyyah datang kepadanya dan bertanya,
Adakah tuan mahu apa-apa wahai Abu Ayub?
Sahabat Rasulullah saw yang mulia ini menjawab,
Sampaikan salamku kepada seluruh tentera Islam dan beritahulah mereka, Abu Ayub mahukan mereka menembusi seberapa jauh tembok Constantinople sehingga mereka beroleh kemenangan dan mengebumikan mereka(tentera Kristian Rom Byzantine) di bumi Constantinople.

Kemudian apabila keadaannya berada dalam keadaan cukup tenat, beliau berwasiat untuk dikuburkan di luar tembok Constantinople. Ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan di tembok tersebut, beliau berkata kepada panglima tentera  Umaiyyah:
Aku mendengar baginda Rasulullah saw mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.
Kata-kata akhir daripada Abu Ayub tidak terhenti di situ tapi terus diingati Berita kematiannya semasa kempen di Constatinople tersebar seiring wasiat akhinya. Ia masih diingati dan terus menerus disebar secara lisan sehinggalah ke zaman pemerintahan kekhalifahan Turki Uthmaniyyah.
Berkali-kali pemimpin muslim melancarkan serbuan ke atas kota Constantinople, namun tidak berjaya.




Kota Constantinople ditakluk
Kota Constantinople sentiasa diimpikan setiap panglima. Napoleon Bonaparte(1769-1821) pernah menyatakan bahawa jika beliau mampu menawan Constantinople(pada masa itu dikenali Islambol dan kemudian ditukar nama kepada Istanbul oleh Mustapha Kamal Antarturk), beliau berupaya untuk menawan bahagian Timur dan Barat dunia.
Berkata Napoleon Bonaparte,
If the Earth were a single state, Istanbul would be its capital”
Daripada sudut geografi dan logistik, Constantinople berada di tempat yang amat strategik iaitu di tengah-tengah perdagangan antara timur dan barat. Dan kata-kata Napoleon Bonaparte ada kebenarannya.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda bahawa ketika menggali Parit Khandaq,
 “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

Ramai sahabat yang mendengar kata-kata karamat Rasulullah saw tersebut termasuk Abu Ayub ra. Hadis ini sentiasa menjadi pemangkin kepada ramai pemimpin Islam termasuk Umar al-Khattab, Muawiyah dan ramai lagi. Namun, Allah swt Maha Berkuasa. Allah swt telah mentakdirkan seorang yang mampu menumbangkan kekuatan dan kesombongan Rom Byzantine. Beliau adalah Sultan Muhammad II al-Fatih. Sultan yang tergolong sebagai sultan paling adil di samping Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rashid, Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Nuruddin Zangki ini telah menawan kota Constantinople pada usia yang cukup muda iaitu 19 tahun. Beliau juga diriwayatkan tidak pernah meninggal solat fardhu dan solat tahajjud sejak beliau baliqh. Benarlah ramalan Rasulullah saw bahawa beliau adalah sebaik-baik raja. AllahuAkbar!
Sultan Muhammad II yang digelar Sultan Muhammad al-Fatih.



Penemuan makam Abu Ayub al-Ansari
Aku mendengar baginda Rasulullah saw mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.
Berikut adalah ucapan wasiat terakhir daripada sahabat Rasulullah saw yang mulia, Abu Ayub al-Ansari. Abu Ayub al-Ansari telah ditunaikan wasiatnya untuk dikuburkan diluar tembok kukuh kota Constantinople.
Cerita makam Abu Ayub di luar kota Constantinople telah menarik minat Sultan Muhammad II. Ingin benar baginda menemui makam sahabat nabi itu. Untuk itu, Sultan Muhmmad II telah meminta nasihat daripada ulama baginda, Sheikh Agha Samsuddin.
Sultan Muhammad II mengetuai pasukannya untuk menawan kota Constantinople pada usia 19 tahun.



Sheikh Agha Samsuddin adalah guru Sultan Muhammad II sejak daripada kecil dan beliau sering memberi nasihat berkaitan agama mahupun politik kepada baginda. Sheikh Agha Samsuddin diriwayatkan memiliki kekaramahan dan keberkatan doa. Ia sesuai dengan jalur keturunannya yang sampai kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq.
Sheikh Agha Samsuddin telah berkata kepada Sultan Muhammad II selepas diminta untuk mengenalpasti makam Abu Ayub al-Ansari,
Bahawasanya aku lihat pada suatu  tempat akan nur, mudah-mudahan kuburnya itu di situlah
Sheikh Agha Samsuddin dan Sultan Muhammad II pergi ke tempat itu dan sejurus dia bertawajjuh(memusatkan perhatian kepada Allah swt), lantas beliau berkata lagi,
Berhimpunlah dengna rohnya, maka bersyukur ia akan daku dengan pembukaan(pembukaan kota Istanbul) ini.
Kemudian Sultan Muhammad II maju ke hadapan kepada tuan gurunya dan berkata,
Wahai tuan guru, saya mahu tuan guru tunjukkan kepada hamba satu alamat yang boleh saya boleh lihat dengan mata dan hati saya.
Mendengar permintaan Sultan Muhammad II, Sheikh Agha Samsuddin kembali bertawajjuh. Setelah beberapa ketika, ia bangun dan berkata,
Gali kamu semua pada tempat ini, iaitu pada bahagian kepala sedalam dua hasta. Nescaya, akan timbullah batu nisan bertulisan dalam bahasa Ibrani.
Tentera Sultan Muhammad II terus bergegas menggali tempat yang ditunjuk oleh Sheikh Agha Samsuddin. Beberapa minit kemudian, tampak dengan jelas sebatang batu nisan bertulisan Ibrani. Beberapa tentera yang memahami bahasa Ibrani yakin bahawa ia adalah makam Abu Ayub al-Ansari.
Makam Abu Ayub al-Ansari.


Kemudian, datang Sultan Muhammad II ke tempat yang dikatakan kubur Abu Ayub al-Ansari. Baginda hampir rebah kerana terlampau takjub tetapi mujurlah pegawai baginda sempat memegang baginda. Sultan Muhammad II kemudian menitahkan supaya dibina masjid di sisi makam sahabat Rasulullah saw tersebut. Masjid tersebut kekal sehingga ke hari ini.
Kisah penemuan kubur Abu Ayub al-Ansari menunjukkan pertemuan rohaniah antara dua tokoh yang berjuang semata-mata mahu mendapat keredhaan Allah swt. Kekaramahan sahabat Rasulullah saw tersebut jelas berlaku daripada peristiwa yang hebat ini. Sepertimana wasiat terakhir Abu Ayub al-Ansari yang menyatakan mahu ‘mendengar’ derapan kuda raja yang Rasulullah saw nyatakan sebagai sebaik-baik raja. Ia mungkin metafora kepada keterujaan Abu Ayub untuk menemui ajal di jalan Allah.
Namu bergitu, kita perlu sedar bahawa orang yang syahid di medan perang sentiasa ‘hidup’ seperti firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 169,
Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. 


Penutup
Kota Constantinople tumbang selepas dibedil dan dikepung oleh 260,000 tentera muslim Turki Othmaniyyah selama 53 hari iaitu pada hari Jumaat, 6 April 1453 sehingga Selasa, 29 Mei 1453. Selepas penawanan tersebut, kota tersebut terus ditukar namanya kepada Islambol yang membawa maksud Islam Keseluruhan.
Sultan Muhammad II telah menjadi simbol Turki dan Islam sehinggalah ke hari ini. Beliau digelar Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Muhammad yang Agung. Sultan Muhammad II meninggal dunia pada usia yang boleh disifatkan cukup muda iaitu 49 tahun. Baginda meninggal dunia pada hari Jumaat, 3 Mei 1481 dipercayai telah diracun oleh doktor baginda sendiri. Jacob Pasha, seorang Kristian daripada Itali yang memeluk Islam. Diriwayatkan bahawa Jacob Pasha telah dihukum pancung oleh kerajaan Turki Othmaniyyah. Sultan Muhammad II telah dimakamkan di Turbe(sejenis bilik pemakaman tradisi Turki Othmaniyyah). Ia ditempatkan di Komplek Masjid al-Fatih.

~ Penulisan artikel ini adalah untuk mengenang pembukaan kota Istanbul yang memulakan kempen pada tanggal 6 April 1453. Pembukaan Kota Istanbul telah menamatkan penguasaan perdagangan rempah kerajaan Kristian Eropah di Selat Bosphorus. Ia juga telah menamatkan sesuatu yang lebih besar iaitu menamatkan kerajaan Kristian Rom Byzantine di timur. Kita benar-benar terhutang budi kepada dua watak penting dalam pembukaan kota Istabul iaitu perintisnya, Abu Ayub al-Ansari dan pembukanya, Sultan Muhammad al-Fatih.